SIBU: Seorang gadis mendakwa dirogol tiga kali selama tiga malam berturut-turut oleh seorang lelaki di sebuah bilik hotel di Kapit sebelum berjaya melarikan diri, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata, mangsa, 17, terus pergi ke Balai Polis Kapit untuk membuat laporan polis sekitar jam 3 pagi.
Beliau berkata, suspek yang menyedari mangsa telah melarikan diri bertindak keluar dari hotel dan menaiki bot ekspres untuk pergi ke Sibu.
“Bertindak atas maklumat, suspek berumur 27 tahun yang dikenali sebagai ‘Boy’ berjaya ditangkap anggota pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) setibanya di Terminal Penumpang Sibu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Freddy berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mula mengenali suspek ketika mereka berjumpa di Gelanggang Kenyalang Kapit sekitar jam 2.30 petang Ahad lalu.
“Mangsa memberitahu suspek tujuan dia datang ke Kapit adalah untuk mencari seorang rakan perempuan yang tinggal di Kapit.
“Menyedari mangsa ‘orang luar,’ kesempatan itu digunakan suspek untuk berpura-pura menyatakan dia mengenali rakan yang dicari dan akan membawa mangsa berjumpa dengan rakannya itu,” jelasnya.
Katanya lagi, suspek kemudian membawa mangsa mendaftar masuk di sebuah hotel di Kapit.
Sekitar jam 10 malam hari berkenaan katanya, suspek kembali semula ke hotel terbabit dan dipercayai memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya.
“Selama tiga hari bersama di bilik hotel, suspek dipercayai memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya sebanyak tiga kali.
“Mangsa juga dipercayai diugut bunuh oleh suspek sekiranya dia memberitahu sesiapa mengenai perkara yang telah terjadi,” katanya.
Namun, mangsa berjaya meloloskan diri daripada terus menjadi hamba seks apabila suspek tertidur awal pagi kelmarin.
Difahamkan, mangsa merupakan seorang pelajar sebuah sekolah menengah di daerah Song.
Freddy menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - Utusan Borneo
0 Comments