Pasukan Petugas Khas Ditubuhkan Bagi Memantau Aktiviti Rasuah

PUTRAJAYA: Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti rasuah
dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi SPR
Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

plihanraya, rasuah malaysia

Selain SPR, pasukan itu akan turut dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, katanya.

Beliau berkata memandangkan kuasa berkaitan perbuatan rasuah lebih menjurus kepada
SPRM, setiap salah laku yang dilaporkan kepada SPR akan dirujuk kepada SPRM untuk
tindakan lanjut.

“Setiap pejabat pilihan raya negeri akan membuat penyelarasan dengan semua pejabat
SPRM di negeri-negeri bagi memastikan setiap penyelarasan dan persediaan dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran bilik gerakan PRU14 SPRM, di sini semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Mohd Hashim berkata mereka yang didapati terlibat dengan aktiviti rasuah dan salah guna
kuasa yang tertakluk di bawah Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta
5) boleh dikenakan tindakan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit
kesalahan.

Katanya, kesalahan itu juga secara tidak langsung boleh mengakibatkan kekosongan kerusi
seseorang calon dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

“Dalam masa sama, mereka yang terlibat juga akan dikeluarkan daripada senarai daftar
pemilih selama lima tahun dari tempoh sabitan tersebut,” katanya.

Mohd Hashim berkata bagi memantau kempen PRU14 bermula dari hari penamaan calon
hingga pengisytiharan keputusan pilihan raya, SPR akan turut mewujudkan Pasukan
Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

Katanya, setiap PP-KPR akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan khususnya dari
segi bahan-bahan kempen, poster, ceramah, syarahan dan aktiviti kempen lain termasuklah
aktiviti kempen yang berunsurkan rasuah politik. — Bernama

Sumber : utusanborneo

Post a Comment

0 Comments